Webinar berigakan kod pemasaran makanan berhemah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Bagi memberigakan mengenai Kod Pemasaran Makanan dan Minuman yang Berhemah Kepada Kanak-kanak Di Negara Brunei Darussalam (CORM) yang telah dilancarkan tahun lalu, Kementerian Kesihatan telah mengadakan sesi webinar yang dihadiri oleh 45 peserta terdiri daripada pengagih makanan dan minuman, kelmarin.

Antara peserta-peserta yang menghadiri sesi webinar tersebut adalah dari Sim Kim Huat Department Store, Guan Hock Lee Food dan Sinar Sosro Indonesia. Menurut Kementerian Kesihatan, webinar telah dimulakan dengan pengenalan webinar oleh moderator, Pegawai Pelajaran Kesihatan Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Nadhirah Rawi, dan seterusnya penerangan daripada Pegawai Perubatan Kanan, Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norol-Ehsan binti Haji Abdul Hamid.

Sesi itu memberi panduan kepada para peserta mengenai pelaksanaan kod tersebut yang mengandungi tiga prinsip. Antaranya, semua pemasaran makanan dan minuman mesti disediakan dengan memenuhi tanggungjawab sosial terhadap pengguna dan masyarakat;
Semua pemasaran makanan dan minuman kepada kanak-kanak tidak boleh menggunakan sifat kanak-kanak yang mudah percaya, mudah patuh, mudah dilukai atau kurang pengetahuan dan pengalaman, atau menggunakan taktik menakutkan atau memperdayakan mereka.

Selain itu, personaliti atau watak popular dalam kalangan kanak-kanak termasuk pelakon kanak-kanak tidak boleh digunakan untuk mempromosi makanan dan minuman dengan menjejaskan pemakanan sihat sebagaimana yang terkandung dalam Garis Panduan Pemasaran Makanan dan Minuman kepada Kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, para peserta juga diberi panduan mengenai kriteria-kriteria kandungan produk makanan (dan minuman) yang boleh atau tidak boleh diiklankan ataupun perlu mengikuti syarat-syarat yang dinyatakan dalam dokumen kod tersebut.

Dayang Nadhirah bersama peserta lain pada sesi webinar berkenaan. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan