Webinar bincang aspek reka bentuk, binaan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Lebih 70 peserta terdiri daripada ahli PUJA, pegawai-pegawai kerajaan dari Kementerian Pembangunan, golongan kontraktor serta ahli profesional dari industri pembinaan Brunei telah menyertai webinar berjudul NEC Contracts: An Introduction & Comparison with FIDIC anjuran PUJA Academy Sdn Bhd (PASB), baru-baru ini.

Webinar disampaikan oleh pakar dalam pemerolehan dengan New Engineering Contracts (NEC) dan peneraju perunding kejuruteraan global dari Mott MacDonald, juga rakan Institusi Jurutera Awam, United Kingdom, Richard Patterson.

Richard mempunyai pengalaman perolehan antarabangsa dengan bank pembangunan pelbagai hala seperti Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia dan dalam Sektor Air bersama ‘FIDIC Pink and Yellow Book’ menerusi pembentangan berkenaan, beliau telah menumpukan perkongsian kepada pengenalan NEC dan perbandingan dengan International Federation of Consulting Engineers (FIDIC).

Selain menyentuh aspek reka bentuk dan binaan kontrak, Richard turut meneroka dua keluarga kontrak pembinaan standard yang mantap digunakan di peringkat antarabangsa iaitu NEC dan FIDIC.

FIDIC sangat mantap dan disyorkan oleh kebanyakan jurutera antarabangsa. Dengan NEC berusia lebih dari 30 tahun yang telah digunakan di peringkat antarabangsa dan prinsip panduannya ialah kejelasan (clarity), fleksibiliti dan rangsangan kepada pengurusan yang baik. PASB secara aktif menawarkan webinar dan kursus maya untuk meningkatkan kecekapan ahli-ahli PUJA dan industri pembinaan, dengan misinya untuk ‘Promoting Awareness, Improving Knowledge and Enhancing Experience’.

Antara peserta yang hadir semasa sesi webinar anjuran PASB yang berlangsung secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan PASB