Webinar bincang isu penggunaan TikTok

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat tanah air terhadap keselamatan dalam talian seiring perkembangan penggunaan pelbagai aplikasi media sosial, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT) di bawah Cyber ​​Security Brunei (CSB) telah mengadakan sesi webinar Let’s Talk TikTok menerusi Zoom Meeting, hari ini.

Sesi webinar yang disertai oleh lebih 60 orang peserta itu mengetengahkan Pega-wai Pemasaran dan Kesedaran Keselamatan Siber, CSB, Dayang Siti Nor Izuana binti Ayob yang lebih membincangkan kepada perkongsian mengenai isu-isu jenayah terkini khususnya untuk memastikan para pengguna aplikasi TikTok lebih berwaspada sekali gus menyarankan golongan ibu bapa atau penjaga lebih peka memantau anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

Antara yang disentuh ialah langkah-langkah asas keselamatan siber bagi penggunaan aplikasi TikTok yang merangkumi sentiasa menjadikan akaun kepada private, penapisan komen-komen yang tidak bersesuaian dan kaedah family pairing khusus untuk para ibu bapa memantau kegiatan anak-anak ketika menggunakan aplikasi berkenaan.

Di samping itu, Dayang Siti Nor Izuana turut berkongsi bahawa berdasarkan Global Digital Overview 2021 oleh We Are Social and Hootsuite, antara 2020 dan Januari 2021, penggunaan rangkaian media sosial di negara ini meningkat dalam 30,000 iaitu sebanyak 95 peratus pada 2020 tetapi pada tahun ini menjadi 99 peratus pengguna media
sosial.

Tambahnya, meskipun statistik berkenaan tidak menyebut tentang penggunaan TikTok akan tetapi, penggunaan TikTok di negara ini amat ketara. Pada tahun ini pihak BruCERT ada menerima banyak aduan mengenai aplikasi berkenaan berbanding pada tahun lain.

“Berbicara mengenai impak penggunaan TikTok ini, ia tertakluk kepada setiap individu. Jika seseorang menggunakannya dengan berhemat dan selamat, maka ia akan memberikan impak dan kesan yang positif seperti menjadikannya platform sebagai medium komunikasi untuk menyampaikan sesuatu maklumat antaranya berkongsi resipi makanan ataupun ada yang menggunakannya sebagai platform untuk pembelajaran,” ujarnya lagi.

Dayang Siti Nor Izuana berkongsi langkah-langkah asas keselamatan siber bagi penggunaan aplikasi TikTok.