Webinar ketengah aspek penerokaan proses D&R

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Dengan hasrat bagi sama-sama meningkatkan penerokaan proses pengurusan teknologi dalam industri minyak dan gas, PUJA Academy Sdn Bhd (PASB) dengan kerjasama Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah menganjurkan webinar berjudul Decommissioning and Restoration (D&R): Technology Deployment menerusi Zoom Meeting, hari ini.

Lebih 50 peserta terdiri daripada ahli PUJA, kakitangan BSP dan sektor awam telah menyertai webinar yang mana telah dibentangkan oleh pengurus D&R, BSP, Haji Idris bin Haji Mohd Jaafar yang merupakan ahli profesional dalam upstream industry dengan pengalaman lebih 32 tahun dalam Shell sehingga telah mengendalikan pelbagai projek berskala besar dengan kemahiran menyeluruh dalam rantaian nilai upstream.

Melalui webinar berkenaan, Haji Idris lebih mengetengahkan kepada para peserta mengenai aspek penerokaan proses D&R dalam industri minyak dan gas, di mana kemudahan-kemudahan pastinya akan mencapai jangka hayat tertentu.

Beliau yang dipertanggungjawab dalam program D&R aset BSP dengan matlamat untuk mengurangkan liabiliti yang sangat besar dengan cara yang selamat dan cekap dalam peraturan negara dan selaras dengan jangkaan masyarakat pada masa kini, seterusnya menjelaskan pada sesi pembentangannya bahawa setiap projek decommissioning adalah berbeza dan perlu disesuaikan dengan reka bentuk kemudahan, konteks tempatan dan juga keperluan perundangan tempatan.

Dengan adanya sesi webinar sedemikian, ia bertujuan untuk memberikan para peserta gambaran tentang D&R daripada perspektif Global Shell dan BSP diikuti dengan perincian lanjut tentang teknologi semasa dan baharu yang digunakan oleh BSP khususnya dalam bidang aktiviti subsurface, wells plug dan abandonment di bawah skop kerja pasukan D&R.

Sehubungan itu, PASB secara aktif menawarkan webinar dan kursus secara maya untuk meningkatkan kecekapan ahli-ahlinya dan industri pembinaan, dengan misinya untuk mempromosikan kesedaran, meningkatkan pengetahuan dan pengalaman.

Haji Idris semasa membentangkan aspek penerokaan proses D&R dalam industri minyak dan gas pada webinar berkenaan.- Gambar serahan BSP