Webinar kongsi mekanisme atasi kegelisahan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Persatuan Pelajar Undang-undang Asia (ALSA) Brunei Darussalam, yang anggotanya terdiri daripada pelajar jurusan undang-undang dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini telah menganjurkan Webinar COVID-19 Help-Kit dengan topik Pandemic within a Pandemic: A Guide to Coping with Mental Health and Online Anxiety.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ALSA Brunei Darussalam, webinar diadakan untuk menjangkau pelajar-pelajar universiti dalam negara dan antarabangsa serta melengkapkan mereka dengan idea mengenai mekanisme yang boleh dicuba dalam mengatasi kegelisahan dalam talian dan meningkatkan kesihatan mental mereka dalam masa yang mencabar ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi webinar tersebut ialah Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSL) UNISSA, Dr Hajah Masnooraini binti Haji Mohiddin dan disertai oleh lebih 70 orang peserta terdiri daripada pelajar dan ahli jawatankuasa penganjur.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan FSL UNISSA, Dr Hajah Hanan binti PDSM DPSS (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

Penceramah jemputan bagi webinar berkenaan ialah Kaunselor Profesional Clarity Brunei dan Pengasas CureHeart, Hajah Norajleen Uminatul Hafizan binti Haji Alimas dan Penceramah dan Jurulatih Motivasi di EPIPEOPLE Perunding Negara Brunei Darussalam, Megat Haji Mohd Arif Faisal bin Haji Mustapha yang mana kedua-duanya pakar menyampaikan ceramah mengenai menangani masalah kesihatan mental dan kegelisahan.

Wakil-wakil jawatankuasa penganjur, Presiden ALSA Brunei 20/21, Awangku Muhd Syair Aminy bin Pengiran Shahrel Annuar dan Naib Presiden Jabatan Latihan, Pertukaran dan Pembangunan 20/21, Dayang Syafiah binti Abdul Hafidz turut menyampaikan ucapan perasmian untuk mengalu-alukan para peserta webinar.

Dr Hajah Masnooraini dan Dr Hajah Hanan bersama moderator dan penceramah jemputan bagi webinar tersebut. – Gambar serahan ALSA Brunei Darussalam