Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Ekonomi ASEAN dijangka akan meningkat kepada AS$300 bilion menjelang 2025 dan Asia berpotensi untuk menjadi peneraju dunia dalam pendigitalan jika semua pihak memberikan tumpuan serta meningkatkan kerjasama di antara satu sama lain.
Pandangan itu dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UOB Asset Management (UOBAM), Thio Boon Kiat dalam ulasan pembukaannya semasa Webinar Prospek Pelaburan Tahunan UOBAM yang berlangsung secara maya, hari ini.
Beliau menambah bahawa pemacu ekonomi termasuk pendigitalan akan mempunyai impak yang mendalam terhadap cara kita melakukan kerja, hidup serta melabur.
Menyentuh mengenai peluang-peluang pelaburan yang baharu di Asia, Thio Boon Kiat berkata bahawa peluang yang penting datangnya daripada segmen baharu muncul yang diterajui oleh kemajuan teknologi dan kemapanan.
Beliau menjelaskan bahawa pada masa ini di Asia, teknologi kewangan (fintech), e-pembayaran dan e-dagang semakin berleluasa dan kerap digunakan di mana syarikat-syarikat dalam bidang fintech serta teknologi kesihatan, memainkan peranan yang penting dalam prasarana pelaburan dan ekonomi dengan diterajui oleh penembusan Internet yang tinggi.
Oleh itu, daripada perspektif pengurusan pelaburan, kerajaan negara-negara Asia termasuk China dan ASEAN, turut menggalakkan sektor swasta untuk mengejar matlamat kemakmuran bersama dan menyediakan lebih ketelusan dalam laporan ESG masing-masing.
Semua itu, jelasnya lagi, akan membantu pengurus pelaburan untuk mengenal pasti perusahaan masa hadapan yang diurus tadbir dengan baik, berhasil tinggi dan mapan.
Mengulas mengenai sikap pelabur di Asia, Thio Boon Kiat berkata bahawa tidak dapat dinafikan bahawa pelabur pada masa ini adalah jauh berbeza daripada pelabur masa dahulu.
Pelabur masa kini jauh lebih berdikari, berkeyakinan dan celik teknologi di mana harapan perkhidmatan pelaburan mereka adalah lebih tinggi daripada pelabur generasi terdahulu.
Ketika mengulas mengenai pengalaman pelaburan yang dapat dikongsi kepada para pelabur, beliau menasihati pelabur untuk mengambil pandangan jauh dalam melabur iaitu untuk membuat pelaburan pada usia muda dan melabur dengan bijak supaya dapat menjamin kestabilan kewangan mereka bagi masa hadapan serta memberikan peluang kepada mereka untuk menumpukan kepada perkara yang penting dalam kehidupan.
Webinar setengah hari itu, mengetengahkan pembentang-pembentang yang mengongsi pandangan mereka mengenai landskap pelabur bagi 2022, penempatan aset global, jangkaan inflasi, trend demografi, peluang-peluang pelaburan mapan serta hala tuju seterusnya bagi ekonomi digital.