Webinar kongsi tip penulisan CV

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Demi membantu meningkatkan kebolehpasaran belia dalam mencari pekerjaan, Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) dengan kerjasama Economy and Entrepreneurship Executive Committee, Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menganjurkan sesi Webinar Penulisan CV dan Temu Duga, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KESAN, webinar berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran penulisan CV dalam kalangan peserta dan menyediakan alat digital untuk membantu peserta membuat CV yang terbaik lagi berkesan. Selain itu, ia juga memberikan kemahiran penting bagi teknik temu duga dalam permohonan sebarang pekerjaan nanti.

Sesi webinar yang juga sebahagian daripada program Siri Kebolehkerjaan KESAN itu telah dihadiri oleh graduan tempatan, pencari kerja dan pekerja meliputi dari kedua-dua sektor awam dan kerajaan yang ingin memajukan kerjaya mereka.

Pembentang sesi berkenaan ialah Dayang Ili Mardhiah binti Haji Zulkipli dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kreatif Super Thirteen, Mizi Bahrin selaku pembentang jemputan.

Dalam sesi perkongsian itu, Dayang Ili Mardhiah menyatakan bahawa menurut Trading Economic, Negara Brunei Darussalam telah menyaksikan kenaikan kadar pengangguran sebanyak 8.37 peratus pada Disember 2020.

Oleh itu, dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif ini, sangat penting bagi graduan dan pencari kerja meningkatkan kemahiran mereka dalam menulis CV dan kemahiran komunikasi dalam sesi temu duga.

Manakala itu, Mizi menekankan bahawa para belia harus berusaha secara berterusan dalam meningkatkan perkembangan dan pengalaman peribadi dengan bekerja atau menjadi sukarelawan pada usia muda.

Selain itu, beliau turut menceritakan pengalaman dan perjalanannya dalam mengembangkan jenama streetwear di Brunei yang bermula sebagai minat mendalam terhadap budaya streetwear dan reka bentuk grafik.