Webinar perjelaskan REITs Singapura

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mendidik pelabur mengenai pasaran kewangan global, Baiduri Capital telah menganjurkan webinar bertajuk Singapore Real Estate Investment Trusts (REITs) – What Next?, baru-baru ini.

Webinar telah dikendalikan oleh Pakar Strategi Pasaran dari Singapore Stock Exchange, Geoff Howie yang berpengalaman lebih dari 20 tahun dalam pasaran kewangan dan ekonomi serta pakar dalam makroekonomi global.

Selain itu, beliau juga mempunyai reputasi tinggi untuk mengenal pasti pemacu pasaran utama dan kesannya di kelas aset utama.

Turut menyertai webinar berkenaan ialah Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Baiduri Capital, pasaran saham Singapura yang pelbagai menggambarkan kepelbagaian industri yang aktif mengembangkan industri mereka di rantau ini.

Geoff Howie mengendalikan sesi perkongsian menerusi webinar bertajuk Singapore REITs – What Next?, baru-baru ini. – Gambar serahan Baiduri Capital

Tahun ini, Straits Times Index meletakkan indeks tanda aras Singapura dalam antara antara tiga teratas di Asia Pasifik.

Kenyataan menyatakan, REITs menawarkan cara yang lebih mudah untuk pelabur meraih ganjaran pelaburan hartanah tanpa komitmen dan kos membeli hartanah di mana ia merupakan sejenis pelaburan popular yang disukai oleh pelabur Brunei dan Singapura untuk pendapatan pasif.

Menerusi webinar berkenaan, Geoff Howie memulakan sesi perkongsian dengan memberikan gambaran mengenai pergerakan saham kebelakangan ini yang mungkin menyumbang kepada pemulihan pasaran di rantau ini dan diikuti dengan pandangannya mengenai pemacu utama pemulihan ini.

Di samping itu, beliau juga menjelaskan mengenai harga REITs yang mengalami sedikit penurunan, di mana ia adalah masa yang tepat bagi para pelabur untuk mempertimbangkan untuk menambahkan aset tersebut bagi mempelbagaikan portfolio mereka.

Mengulas mengenai webinar tersebut, Peng Eng Soon dipetik berkata bahawa ia bertujuan untuk memberi pandangan dan mengemas kini maklumat berkaitan pelaburan-pelaburan yang popular dalam kalangan pelabur tempatan, mengggunakan saluran-saluran penyampaian alternatif pada masa yang mencabar ini.

Selaras dengan langkah-langkah pengawalan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, baru-baru ini, Baiduri Capital juga memperkenalkan konsultasi menerusi telefon dan aplikasi e-mel untuk produk dan perkhidmatan mereka.