Webinar promosi peluang perniagaan di Brunei

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Negara Brunei Darussalam dan Australia mempunyai hubungan kerjasama dua hala yang rapat dan terus bertambah kukuh di mana Australia terus menjadi salah satu rakan perdagangan penting dengan Australia merangkumi 6.5 peratus jumlah perdagangan keseluruhan Brunei bagi 2020.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri

Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam ucaptama pada Webinar Pandangan Pasaran Brunei yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam dan Austrade secara maya, kelmarin.

Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf dalam ucaptama itu, mengetengahkan Pelan Tindakan Ekonomi Brunei yang berfungsi sebagai dorongan bagi ekonomi bertumbuh negara, ditunjangi urus tadbir yang kukuh, perniagaan yang berkembang dan berdaya tahan yang mampu merangkul peluang-peluang ekonomi yang dijana oleh revolusi industri keempat.

“Ini akan membolehkan bagi peningkatan inovasi, produktiviti dan daya saing berserta kemunculan industri baharu,” tambah beliau.

Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf semasa menghadiri webinar yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam dan Austrade. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

Beliau juga menyentuh mengenai rancangan kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk mempelbagaikan ekonomi daripada bidang penting tradisional minyak dan gas khususnya dalam hiliran minyak dan gas, makanan, pelancongan, perkhidmatan dan sektor teknologi infokomunikasi serta menggalakkan perniagaan dan pelabur Australia untuk meneroka peluang-peluang berpotensi dan rakan kongsi di Negara Brunei Darussalam.

Terdahulu, webinar yang bermatlamat untuk mempromosikan pelaburan dan peluang perniagaan di Negara Brunei Darussalam kepada perniagaan dan pengeksport Australia itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald dan Pesuruhjaya Pelaburan dan Perdagangan Kanan Austrade, Paul Sanda.

Dalam kata alu-aluannya, PYT Tiffany McDonald berkata bahawa Brunei sebagai sebuah negara kecil telah membuat keputusan yang bijak mengenai usaha mempelbagaikan ekonominya daripada sektor minyak dan gas serta mempunyai reputasi yang kuat mengenai standard halal yang tinggi.

Dengan Brunei yang mula keluar daripada gelombang kedua penularan wabak COVID-19, beliau mengiktiraf bahawa negara ini mempunyai salah satu rekod terbaik di dunia dalam mengurus penularan pandemik.

Selain itu, bersama-sama pelan pembangunan yang teratur melalui Wawasan Brunei 2035, rancangan mempelbagaikan ekonomi serta strategi-strategi bagi meningkatkan inovasi, daya saing dan produktiviti, ulas Puan Yang Terutama lagi, terdapat peluang yang wujud bagi pelabur dan pengeksport Australia.

Semasa webinar itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Dr Nur Rahman menyampaikan pembentangan khusus mengenai matlamat dan aktiviti syarikatnya.

Para peserta webinar seterusnya mengambil bahagian dalam sesi perbincangan
mengenai dengan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Brunei.