Webinar SCS perkenal dana baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Standard Chartered Securities (SCS) baru-baru ini telah mengadakan webinar untuk pelanggan mereka bagi memperkenalkan dana yang baru dilancarkan daripada Allianz Global Investors.

Menurut kenyataan yang diberikan, semasa webinar itu, Pengurus Kanan Jualan Saluran Allianz Global Investors Singapura, Winnie Tan mengongsikan tema dan prospek pelaburan mereka untuk tahun hadapan.

Ia diikuti dengan perbincangan interaktif bagi menjawab soalan-soalan utama daripada penonton.

Turut menyertai beliau dalam sesi dialog itu ialah Kaunselor Pelaburan di Standard Chartered Brunei, Awang Hamizan Amran.

Ketua Pegawai Eksekutif SCS, Brenda Low dalam ucapan alu-aluannya dipetik berkata, “Pandemik (COVID-19) telah menjejaskan cara menjaga wang kita sekarang dan dalam jangka masa panjang. Dan ia juga telah memberi peluang kepada semua orang untuk menyemak atau mungkin menetapkan semula tentang cara menguruskan kewangan mereka.”

Menurutnya, mereka telah melihat semakin ramai pelanggan yang bertanya mengenai pelaburan.

Semasa gelombang pertama, ia adalah beransur-ansur tetapi dengan gelombang kedua ini, terdapat peningkatan terhadap minat untuk melabur, sama ada untuk memulakan atau mendalami pengetahuan mereka tentang portfolio pelaburan, tambah beliau.

Brenda Low mengongsikan bahawa SCS telah menyokong minat tersebut dengan pelbagai alat dan aktiviti kesedaran.

“Pandemik juga berubah di mana kita membelanjakan wang terutamanya untuk pembelian mampan. Ini dapat dilihat dengan lebih ramai pelanggan mempelbagaikan portfolio mereka ke dalam pelaburan tertumpu ESG yang pertama kali kami perkenalkan di Brunei tahun lepas,” ujar beliau lagi.

Winnie Tan dan Awang Hamizan semasa webinar yang diadakan untuk memperkenalkan dana yang baru dilancarkan daripada Allianz Global Investors. – Gambar serahan Standard Chartered Brunei