Webinar tambah pengetahuan pelabur

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menambah pengetahuan para pelabur mengenai pasaran kewangan global, Baiduri Capital telah menganjurkan seminar dalam talian (webinar) bertajuk Active is: Looking Ahead to the Post COVID-19 World, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, webinar berkenaan, yang melihat bagaimana pandemik telah menjejaskan pelbagai pasaran dan menandai trend-trend berpotensi sebaik sahaja pasaran-pasaran berkenaan mula pulih, dikendalikan oleh perwakilan dari Allianz Global Investors Singapore, Winnie Tan.

Beberapa perkara penting yang ditekankan semasa webinar berkenaan adalah penjelasan lebih mendalam mengenai bagaimana pandemik telah menjejaskan pelbagai ekonomi global serta berbagai-bagai langkah yang telah diambil oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menyokong ekonomi masing-masing.

Kenyataan menjelaskan bahawa webinar berkenaan adalah sebahagian daripada siri yang dianjurkan oleh Baiduri Capital sejak Mei lalu.

Menurut Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon, ini merupakan webinar ketiga mereka dalam tempoh tiga bulan dan mereka berbangga untuk meneruskan perkongsian mereka dengan Allianz Global Investors yang merupakan firma pengurusan pelaburan global.

“Berdasarkan persekitaran ekonomi semasa, adalah penting untuk sentiasa mengetahui mengenai bagaimana pasaran berlainan terjejas dan kami terus menyediakan klien dengan pandangan dan perspektif paling terkini daripada pakar-pakar terkemuka industri,” ujar beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa Baiduri Capital merancang untuk meneruskan lebih webinar pelaburan dalam masa terdekat bagi manfaat klien-kliennya.

Baiduri Capital telah mengendalikan webinar buat kali ketiga bagi menambah pengetahuan para pelabur mengenai pasaran kewangan global. – Gambar serahan Bank Baiduri