Oleh Siti Nur Wasimah S
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Persatuan WeCare @ KamiPrihatin buat julung-julung kalinya telah mengadakan kempen derma darah yang berlangsung di Ruang Legar Atrium, Airport Mall, pagi tadi.
Kempen derma darah yang bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang itu bertujuan untuk menambah tabung simpanan darah di negara ini di samping meningkatkan lagi manfaat menderma darah terhadap tubuh badan dan kesihatan penderma itu sendiri.
Pada masa yang sama, kempen berkenaan juga diharap akan dapat mempromosikan lagi Persatuan WeCare.
Persatuan ini ditubuhkan pada tahun 2016 dan setakat ini telah mempunyai lebih 30 ahli yang mana persatuan ini adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan kemanusiaan yang memeduli kemaslahatan masyarakat di arena tempatan dan antarabangsa serta memperkasa nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) melalui penggunaan sumber, pembinaan jaringan dan pembangunan kapasiti tempatan.
