WeCare hulurkan bantuan untuk keluarga terjejas COVID-19

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Dengan matlamat untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga-keluarga terjejas akibat pandemik COVID-19, WeCare telah mengadakan Program Bruneians for Bruneians: COVID-19 Relief fasa keempat yang juga digelar B4B baru-baru ini.

Menurut kenyataan WeCare, bagi fasa keempat ini, 50 buah keluarga di Kampung Katok B dan Kampung Mata-Mata telah menerima sumbangan barang keperluan.

Pembungkusan dan pengagihan barang-barangan dilakukan mengikut garis pandu prosedur operasi standard COVID-19. Pemangku ketua Kampung Mata-Mata turut menawarkan perkhidmatan pandu lalu kepada waris yang ingin mengambil sendiri barangan tersebut.

Kenyataan menyatakan, program berfasa yang dilancarkan pada April 2020 itu juga bermatlamat untuk menyebarkan kesedaran dan harapan bahawa kerja-kerja kemanusiaan masih wujud.

Ia merupakan program sumbangan daripada penduduk Brunei kepada yang memerlukan, iaitu sumbangan dalam bentuk barang-barang keperluan seharian, keperluan untuk melindungi individu daripada COVID-19 dan pembaikan rumah.

Fasa pertama dan kedua melibatkan pengagihan barang-barang keperluan asasi dan kit kebersihan kepada yang memerlukan, manakala fasa ketiga memfokuskan terhadap bantuan kepada sebuah keluarga sahaja, dengan membaik pulih rumah keluarga yang dipilih sementara keluarga tersebut dibawa bersiar-siar.

Bagi fasa keempat, sumbangan yang digunakan adalah baki sumbangan yang dikutip pada 2020.

Fasa seterusnya yang kini dalam perancangan adalah untuk melaratkan pembahagian barang keperluan kepada kampung-kampung lain dan kerjasama bersama ketua-ketua kampung tersebut adalah sangat dialu-alukan.

Dalam kenyataan itu, WeCare mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu-individu yang ikut serta menjayakan program B4B setakat ini.