Weibo sekat akaun peminat BTS

BEIJING, 6 SEPT – Platform media sosial China Weibo melarang kelab peminat kumpulan K-pop popular Korea Selatan BTS daripada menyiarkan hantaran selama 60 hari, berkata ia telah mengumpul dana secara tidak sah, beberapa hari selepas gambar sebuah kapal terbang dibiayai kelab peminat disiarkan dalam talian.

Akaun kelab peminat, yang mempunyai lebih 1.1 juta pengikut di Weibo, menumpu pada anggota BTS Jimin.

Sekatan dikenakan ke atas akaun di tengah kempen China untuk membersihkan industri hiburan dan bertindak keras ke atas ‘tingkah laku tidak rasional’ oleh peminat.

Presiden China Xi Jinping menggesa ‘pembaikpulihan negara’ dilancarkan dengan kawalan lebih ketat ke atas perniagaan, pendidikan, kebudayaan dan agama oleh Parti Komunis.

Parti itu telah mengurangkan akses kanak-kanak dalam permainan dalam talian dan cuba mengurangkan tumpuan terhadap selebriti. Minggu lalu, kerajaan itu mengharamkan lelaki yang bersifat kegadis-gadisan di televisyen dan menyekat rancangan yang memuja idola disebabkan ‘nilai moral rendah’ yang mungkin memberikan pengaruh tidak baik ke atas golongan remaja.

Akaun peminat BTS dilarang daripada menyiar hantaran di Weibo selepas gambar kapal terbang dari Jeju Air dengan imej Jimin disiarkan di internet minggu lalu.

Kapal terbang itu merupakan sebahagian daripada rancangan kelab untuk menyambut ulang tahunnya ke-26 pada Oktober.

Weibo berkata dalam kenyataan semalam kumpulan itu telah dilarang daripada menyiarkan hantaran selama 60 hari selepas ia didapati mengumpul dana secara tidak sah. – AP

Gambar fail menunjukkan anggota kumpulan k-pop Korea Selatan BTS bergambar sebelum sidang media untuk memperkenalkan album baharu ‘Butter’ di Seoul. Weibo telah melarang kelab peminat BTS daripada menyiarkan hantaran selama 60 hari. – AP