Welbeck lebur impian Chelsea

LONDON, 30 DIS – Bintang Brighton, Danny Welbeck menjaringkan gol dramatik pada masa kecederaan untuk menafikan impian Chelsea meraih mata penuh dalam perlawanan Liga Perdana semalam.

Romelu Lukaku menanduk masuk bola untuk meletakkan Chelsea di depan pada separuh masa pertama tetapi Welbeck yang juga bekas pemain Manchester United dan Arsenal menghukum tuan rumah apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan.

Keputusan seri 1-1 itu bermakna skuad bimbingan Thomas Tuchel kini ketinggalan lapan mata di belakang City yang melakar kemenangan 1-0 ke atas Brentford.

Lukaku mempamer aksi meyakinkan pada penampilan keduanya bersama Chelsea selepas berhijrah dari Inter Milan Ogos lalu tetapi kemudian bergelut dengan prestasi dan tahap kecergasan sebelum dijangkiti COVID-19.

Tuan rumah kelihatan lebih mengancam pada awal permainan namun Brighton juga tidak kurang memberi saingan.

Tuchel nyata tidak gembira dengan keputusan itu selain berdepan deretan masalah kecederaan pemain.

“Sangat mengecewakan kerana kami sudah memberikan segala-galanya dan mempunyai peluang untuk menang.

“Ia adalah perlawanan yang sangat sengit dan kami berdepan masalah kecederaan lagi. Jadi di bilik persalinan kesemua pemain sememangnya keletihan tetapi ia perkara biasa yang perlu dilalui dalam setiap perlawanan,” katanya. – AFP

Danny Welbeck (tengah) merai bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan pasukan semasa perlawanan di antara Chelsea dan Brighton di Stadium Stamford Bridge di London, England pada 29 Disember. – AP