Sunday, June 4, 2023
27 C
Brunei

    -

    Wells Fargo setuju bayar AS$1 bilion

    WASHINGTON, 17 MEI — Wells Fargo telah bersetuju untuk membayar AS$1 bilion bagi menyelesaikan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh pemegang sahamnya yang mendakwa bank itu membuat kenyataan mengelirukan mengenai pematuhannya dengan pengawal selia persekutuan selepas skandal pembukaan akaun palsu terbongkar pada 2016.

    Tuntutan besar-besaran itu telah difailkan bagi pihak ratusan ribu kakitangan awam Rhode Island dan Mississippi yang dana persaraannya telah dilaburkan di Wells Fargo. Seorang hakim persekutuan di New York kelmarin memberikan kelulusan awal penyelesaian yang difailkan baru-baru ini.

    Wells Fargo telah dikenakan sekatan berulang kali oleh pengawal selia AS kerana melanggar undang-undang perlindungan pengguna sejak 2016, apabila pekerja didapati telah membuka berjuta-juta akaun secara haram untuk mencapai matlamat jualan yang tidak realistik.

    Selain menaikkan angka jualan yang meningkatkan saham syarikat, tindakan oleh pekerja Wells telah menjejaskan skor kredit pelanggan dan menyebabkan sebahagian daripada mereka menanggung kerugian dalam bentuk bayaran yuran.

    Wells yang berpangkalan di San Francisco kekal di bawah perintah Rizab Persekutuan yang melarang bank itu daripada berkembang lebih besar sehingga pihak Rizab Persekutuan mengesahkan bahawa masalah pengawasan dalamannya telah diselesaikan. Perintah itu, yang pada asalnya digubal pada 2018, dijangka hanya bertahan satu atau dua tahun.

    Sejak itu, pekerja berulang kali membanggakan diri dengan menyatakan bahawa Wells sedang menyelesaikan masalahnya, namun bank itu telah didapati melanggar bahagian lain undang-undang perlindungan pengguna, termasuk dalam perniagaan pembiayaan kereta dan pinjaman perumahan. – AP

    Papan tanda bank Wells Fargo tergantung di luar tingkap pada 13 Januari 2021, di New York. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kerja menyelamat kemalangan kereta api korbankan lebih 300 orang ditamatkan

    BALASORE, 4 JUN - Selepas kerja menyelamat selesai, pihak berkuasa mula membersihkan serpihan dua kereta api penumpang yang tergelincir di timur India, membunuh lebih...
    - Advertisment -