Wenger masih dahagakan Piala FA

PRESTON, 6 Jan – Arsene Wenger berkata Piala FA tetap ‘satu keutamaan utama’ bagi Arsenal meskipun pasukannya terlibat dalam dua pemburuan kejuaraan besar iaitu Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Piala FA lebih memihak kepada The Gunners dan skuad Wenger akan membuat kunjungan ke pasukan Championship, Preston Ahad ini bagi cubaan untuk merangkul piala itu buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Kejuaraan 2014 telah mengakhiri penantian Arsenal bagi merangkul piala dan kejayaan yang sama 12 bulan kemudian menggambarkan skuad Wenger mula memperoleh mentaliti pemenang.

Tetapi kegagalan mereka pada musim lalu untuk benar-benar memberikan cabaran dalam kejuaraan Liga Perdana dan kedudukan mereka pada masa di tempat kelima, lapan mata di belakang pendahulu liga, Chelsea, mencadangkan pasukan utara London itu masih banyak perlu dilakukan jika mereka mahu menjadi juara liga buat pertama kali sejak 2004.

Wenger tahu bahawa dia sekurang-kurangnya harus menempatkan Arsenal dalam slot Liga Juara-Juara bagi musim depan, tetapi itu tidak bermaksud dia akan menganggap Piala FA sebagai gangguan.

“Ia adalah keutamaan besar bagi kami,” kata Wenger.

“Sejarah telah membuktikan bahawa kami mengutamakannya dan ia merupakan satu kejohanan besar bagi semua orang.

“Untuk memenangi Piala FA adalah sasaran setiap tahun. Kami juga tahu bahawa selepas jadual padat Krismas, pusingan ketiga selalunya perlawanan yang sukar.

“Sebab itu saya percaya ia adalah cabaran mental bagi pasukan-pasukan Liga Perdana untuk membuat persiapan sebaiknya dan tidak mengalami kejutan besar, terutamanya apabila anda pergi menentang pasukan Championship, ia selalunya sukar.

“Setiap tahun memang adanya perdebatan mengenai keistimewaan Piala FA. Saya secara peribadi tidak mempunyai penyelesaian istimewa tetapi jika bulan April dan Mei tiba dan pasukan pergi ke Wembley, itu sesuatu yang istimewa.

“Ia sesuatu yang istimewa, satu piala istimewa dan di setiap negara, semua orang bermati-matian mahu memenangi piala itu.” – AFP