LIVERPOOL, 28 Ogos – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui bahawa pasukannya telah dihukum atas persembahan ‘buruk’ selepas dibelasah 4-0 oleh pesaing gelaran Liga Perdana, Liverpool semalam.
Gol-gol Liverpool dijaringkan oleh Roberto Firmino, Sadio Mane, Mohamed Salah dan Daniel Sturridge di Anfield untuk menundukkan Arsenal, yang mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 1-0 di Stoke City hujung baru-baru ini.
“Dari segi mentaliti ia sukar,” kata Wenger kepada Sky Sports. “Satu persembahan yang sangat mengecewakan.”
“Keputusan adalah akibat daripada persembahan. Ia tidak cukup bagus. Kami ditewaskan dari segi fizikal dan akhirnya kami menjadikan perlawanan mudah untuk mereka.
Penjaga gol Arsenal, Petr Cech juga menyatakan perkara sama.
“Satu-satunya perkara positif daripada perlawanan ini adalah kami masih mempunyai masa untuk memberikan respons, kerana musim masih awal,” katanya.
Wenger berdepan dengan tentangan dari sebahagian besar seksyen penyokong Arsenal musim lepas ketika dia terlepas kelayakan Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun.
Tetapi dia menerajui kemenangan mengejut ke atas Chelsea dalam final Piala FA dan kemudian menandatangani kontrak dua tahun.
Ditanya mengenai jeriktan ‘Wenger keluar!” yang didengari dari sudut penyokong lawan, Wenger menjawab: “Saya tidak mahu menjawabnya. Ia adalah sebahagian daripada perasaan orang ramai.
“Jika seseorang rasa saya adalah punca masalah, maka saya minta maaf kerana menjadi punca masalah.” – AFP