Wenger salahkan jadual perlawanan

BOURNEMOUTH, 4 Jan – Arsene Wenger yang jelas kecewa telah menegaskan bahawa Arsenal ditempatkan dalam keadaan yang tidak baik sebelum pasukannya membuat kebangkitan epik dalam perlawanan dramatik 3-3 di Bournemouth.

Charlie Daniels, Callum Wilson dan Ryan Fraser telah memberikan Bournemouth pendahuluan 3-0 yang mengejutkan di Dean Court semalam sebelum jaringan daripada Alexis Sanchez, Lucas Perez dan Olivier Giroud melengkapkan satu kebangkitan yang menakjubkan.

Tetapi bos Gunners, Wenger menyalahkan kelekaan pasukannya di awal perlawanan ke atas kelebihan 24 jam tambahan pada Bournemouth bagi membuat persiapan, perlawanan terakhir mereka pada hari Sabtu, berbanding Arsenal yang hanya mempunyai 48 jam untuk membuat persiapan untuk perlawanan itu.

Dan dia memberitahu bahawa Hector Bellerin, Laurent Koscielny, Gabriel dan Alex Oxlade-Chamberlain tidak berada di tahap kecergasan sepenuhnya bagi perlawanan itu, yang menyebabkan Arsenal ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Chelsea, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan di Tottenham Khamis ini.

“Ia adalah ujian fizikal dan mental,” kata Wenger.

“Tahniah kepada mereka, tetapi ia terlalu tidak seimbang kerana hanya mempunyai dua hari untuk bermain menentang pasukan yang mempunyai rehat selama tiga hari.

“Hector Bellerin tidak begitu pasti untuk bermain, itulah masalahnya apabila anda hanya mempunyai 48 jam. Kami mempunyai tiga atau empat orang yang perlu kami tunggu sehingga sesi pemanasan badan. – AFP