LONDON, 10 Ogos – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata bahawa dia tidak membuat sebarang perhubungan dengan Paris Saint-Germain berkenaan dengan Alexis Sanchez yang akan terlepas pembukaan musim kerana kecederaan.
Sanchez, 28, telah dikaitkan dengan perpindahan ke PSG, yang baru sahaja melengkapkan perpindahan rekod dunia bernilai 222 juta euro bagi mendapatkan bintang Barcelona, Neymar.
Tetapi Wenger berkata dia belum mendengar apa-apa daripada presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dan merujuk pada laporan-laporan media Perancis yang menyatakan PSG lebih berminat untuk mendapatkan Kylian Mbappe dari Monaco.
“Sudah lama saya tidak bercakap dengan Nasser, kerana setentunya sangat sibuk untuk melengkapkan perpindahan Neymar,” kata Wenger di satu sidang media di pangkalan London Colney, Arsenal.
Ditanya jika dia men-jangkakan Al-Khelaifi akan menghubunginya, Wenger menjawab: “Tidak, tidak. Saya fikir jika anda membaca akhbar Perancis, mereka dalam pemburuan mendapatkan Mbappe untuk melengkapkan pasaran perpindahan mereka.”


Namun Wenger tidak banyak bercakap ketika ditanya jika ada bidaan telah dibuat untuk Sanchez.
“Saya tidak boleh memberitahu anda ketika ini,” kata pengurus itu, yang mana pasukannya akan memulakan kempen baru menentang Leicester Citu di gelanggang sendiri.
Sanchez, yang juga dikaitkan dengan Manchester City, tidak beraksi bersama Arsenal dalam pra-musim selepas diberikan cuti tambahan selepas bermain di Piala Konfederasi bersama Chile.
Wenger berkata penyerang itu telah mengalami kecederaan abdomen dan kemungkinan besar terlepas dua perlawanan awal liga, menentang Leicester dan kunjungan ke Stoke City.
“Dia mengalami sedikit kekejangan abdomen ketika berlatih pada pagi Ahad, sebelum dia datang ke Wembley,” kata Wenger.
Wenger menambah: “Bagi kami Alexis Sanchez adalah kehilangan besar. Tetapi kami sudah mempunyai pemain-pemain yang sudah bersedia dalam pra-musim dan mereka semua bersedia.” – AFP