West Brom benam Southampton, Everton kecewa

LONDON, 13 APRIL – Prestasi West Bromwich Albion semakin baik dan memiliki sedikit peluang untuk mengelak dari penyingkiran dan kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya menewaskan Southampton 3-0 meskipun timbul kontroversi VAR, manakala harapan Everton mengejar kedudukan empat teratas makin terjejas selepas seri 0-0 di Brighton semalam.

Jaringan daripada Mbaye Diagne dibatalkan oleh VAR pada awal separuh masa pertama di The Hawthorns.

Tetapi skuad kendalian Sam Allardyce kekal mempamerkan aksi terbaik dengan meledakkan dua gol sebelum rehat menerusi sepakan penalti Matheus Pereira dan rembatan Matt Phillips.

Callum Robinson mengesahkan kemenangan kedua berturut-turut mereka dengan gol ketiga selepas rehat sekali gus mengekalkan momentum susulan kemenangan menakjubkan 5-2 di Chelsea.

West Brom yang menduduki tangga kedua tercorot berada lapan mata di belakang Newcastle yang menduduki tempat keempat tercorot dengan baki tujuh perlawanan sahaja lagi.

Aksi Seamus Coleman dari Everton ketika merebut bola semasa perlawanan EPL antara Brighton dan Everton di Stadium Falmer semalam. – AP

West Brom kini telah meledakkan lapan gol dalam dua aksi terakhir namun kebangkitan mereka mungkin agak terlambat bagi mengelak daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan.

“Kami meraih dua kemenangan sangat penting tetapi malangnya kami juga perlu mengharapkan pasukan lain kalah,” kata Allardyce.

Keputusan VAR sekali lagi menimbulkan masalah dengan teknologi itu mendapat sambutan buruk dari Allardyce.

“Saya takut begitu,” katanya ketika ditanya mengenai VAR. “Ada terlalu banyak dari kita yang tidak diberi kesempatan untuk menyatakan bagaimana membuatnya lebih baik.”

Di Stadium Amex, Everton hadir dengan harapan untuk merapatkan jurang dengan pasukan tangga keempat West Ham dalam merebut tempat untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Tetapi skuad Carlo Ancelotti hanya mampu membuat satu percubaan tepat sekali gus kemarau kemenangan mereka berlanjutan ke lima perlawanan dalam semua kejohanan.

Brighton mendominasi hampir keseluruhan aksi namun ketumpulan penyudah mereka menyelamatkan pelawat daripada pulang tangan kosong.

Everton kini berada di tangga kelapan, tujuh mata di belakang West Ham tetapi berkelebihan satu perlawanan manakala Brighton melonjak tujuh mata di atas zon penyingkiran. – AFP