West Ham akhiri dominasi Man City

LONDON, 28 OKT – West Ham menamatkan penguasaan Manchester City selama empat tahun sebagai penyandang juara Piala Liga ketika Liverpool dan Tottenham turut menempa tempat ke suku akhir.

Rekod cemerlang City dalam pertandingan itu berakhir di Stadium London ketika skuad Hammers melakar kemenangan 5-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terlepas rentetan peluang terbaik menja-ringkan gol dalam aksi yang terikat 0-0.

Phil Foden menjadi satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan penalti ketika Mark Noble, Jarrod Bowen, Craig Dawson, Aaron Cresswell dan Said Benrahma kesemuanya meledak gol buat skuad kendalian David Moyes.

“Tiada apa yang kekal,” kata bos City Pep Guardiola. “Kami berjuang bersungguh-sungguh untuk menang dan menang pertandingan ini.

“Empat kali berturut-turut adalah pencapaian menakjubkan dan musim depan kami akan kembali mencuba serta memenanginya semula.”

Nathan Ake, John Stones, Ilkay Gundogan dan Raheem Sterling kesemuanya terlepas peluang terbaik untuk City melanjutkan rekod 21 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam pertandingan itu.

Sementara itu, Liverpool dilihat tidak akan melepaskan peluang memenangi Piala Liga buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun, tetapi terpaksa bangkit daripada permulaan buruk sebelum menang 2-0 di Preston.

Skuad Reds menjaringkan 30 gol dalam lapan perlawanan di tempat lawan musim ini.

“Sebagai satu pasukan kami beraksi baik, tetapi secara individu saya lihat beberapa persembahan menarik dan ia sangat OK,” kata Klopp. – AFP

Reaksi pemain West Ham Said Benrahma (kanan) bersama Issa Diop selepas menjaringkan gol kemenangan dalam sepakan penalti pada akhir perlawanan di antara West Ham dan Manchester City di Stadium London pada 27 Oktober. – AP