West Ham kukuh kedudukan empat teratas liga

BIRMINGHAM, UNITED KINGDOM, 1 NOV – West Ham mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas liga apabila menang 4-1 ke atas Aston Villa yang menamatkan aksi dengan 10 pemain, kelmarin.

Ben Johnson menjaringkan gol awal buat pelawat sebelum Ollie Watkins menyamakan kedudukan tetapi skuad Hammers berjaya mendahului sebelum rehat separuh masa menerusi Declan Rice. Usaha Villa untuk bangkit di babak kedua semakin sukar apabila pertahanannya Ezri Konsa dilayangkan kad merah kerana menghalang peluang menjaringkan gol.

Gol lewat dari Pablo Fornals dan Jarrod Bowen memastikan tiga mata buat skuad kendalian David Moyes dan kekalahan kali keempat berturut-turut buat Villa dalam saingan Liga Perdana.

Kemenangan itu membolehkan West Ham memungut 20 mata selepas 10 perlawanan – sama mata dengan pasukan di tangga ketiga Manchester City.

“Ia adalah minggu yang hebat,” kata Moyes kepada Sky Sports selepas kemenangan kelima berturut-turut pasukannya di tempat lawan dalam semua pertandingan.

Aksi pemain West Ham, Pablo Fornals (tengah) selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Aston Villa dan West Ham United di Villa Park, Birmingham, England pada 31 Oktober. – AP

“Namun awda tahu apa yang berlaku dalam bola sepak. Ia akan mengubah kembali dan mencengkam awda kembali.

“Kami mempunyai perlawanan lain pada Khamis. Saya tidak mahu West Ham menjadi pasukan yang tidak konsisten kerana ramai di kalangan mereka yang memberi ingatan kepada saya mengenainya.”

Terdahulu dalam satu lagi aksi Liga Perdana, Leeds menewaskan Norwich 2-1 untuk kemenangan kedua mereka dalam aksi liga musim ini sekali gus mengeluarkan mereka dari zon penyingkiran.

Penyerang Leeds Raphina membuka jaringan pada minit ke-56 tetapi Andrew Omobamidele menanduk masuk gol penyamaan dua minit kemudian.

Namun Leeds kembali di depan pada minit ke-60 hasil rembatan leret Rodrigo yang menewaskan Tim Krul. Kemenangan itu melonjak Leeds ke tangga ke-17 liga, tiga mata di atas zon penyingkiran.

Norwich yang belum meraih kemenangan musim ini, kekal di tangga tercorot dan lapan mata di bawah garis penyingkiran. – AFP