LONDON, 17 OGOS – West Ham mengumumkan penandatanganan pemain pertahanan Jerman, Thilo Kehrer dari Paris Saint-Germain, hari ini.
Kehrer, 25, menandatangani perjanjian selama empat tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu, dengan pilihan pelanjutan selama dua tahun, dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai 10.1 juta pound.
Kelab berpangkalan di London itu cuba mencari pengganti di bahagian pertahanan selepas pembelian baharu mereka, Nayef Aguerd mengalami kecederaan buku lali semasa pra musim sementara Issa Diop berpindah ke Fulham.
Pemain Jerman itu merupakan pembelian keenam kelab semasa jendela perpindahan musim panas.
Kehrer, yang beraksi di final Liga Juara-Juara pada 2020 untuk PSG, berkata dia teruja untuk menyertai ‘liga terbaik di dunia’.
“Matlamat terbesar saya ketika ini adalah untuk menembusi pasukan, dan menikmati bermain untuk West Ham,” tambahnya.
Pengurus West Ham, David Moyes menggelar Kehrer sebagai ‘pemain berbakat yang boleh bermain di pelbagai posisi bahagian pertahanan’. – AFP
