West Ham tidak mahu jual Arnautovic

LONDON, 11 Jan – West Ham menegaskan penyerang Marko Arnautovic bukan untuk dijual sekalipun minat yang dipamerkan oleh kelab Liga Super China terhadap pemain Austria itu.

Arnautovic menjadi tumpuan minggu ini dengan tawaran bernilai AS$44 juta daripada kelab China yang tidak dinamakan yang mahu membelinya.

Ejen pemain itu yang juga abangnya Danijel Arnautovic memberitahu talkSPORT semalam bahawa pemain itu ‘sangat berharap agar West Ham menerima tawaran dari China itu.’

Walau bagaimanapun, skuad Liga Perdana Inggeris itu tidak mahu kehilangan pemain berusia 29 tahun itu, yang muncul sebagai penjaring terbanyak bersama lapan gol musim ini.

“Marko Arnautovic mempunyai kontrak dan kami berharap dia menghormatinya sepenuhnya, dia bukan untuk dijual,” kata West Ham dalam satu kenyataan.

Arnautovic ketika meledakkan gol pertamanya semasa menentang Brighton & Hove Albion di Stadium London pada 2 Januari lalu. – AP

Shanghai SIPG dikatakan pasukan yang berminat untuk mendapatkan pemain itu dan dilaporkan sedia menawarkan gaji sebanyak £200,000 seminggu dengan kontrak selama empat tahun.

Arnautovic menyertai Hammers daripada Stoke City dengan harga 20 juta pound pada musim panas 2017 dan memenangi anugerah pemain terbaik kelab itu selepas merekodkan 11 gol dalam musim sulungnya.

“Mereka membelinya untuk mengekalkan mereka dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu dan dia melakukannya.

“Dia mendapat setiap anugerah kelab, pemain terbaik, penandatangan terbaik dan anugerah pemain,” tambah Danijel Arnautovic.

“Kini West Ham mempunyai satu tawaran hebat. Ia hampir sekali ganda dengan apa yang mereka bayar kepadanya. Dia mahu berkembang dalam pasaran baharu dan memburu gelaran. Itu adalah apa yang dimahukannya”. – AFP