Westpac didenda AS$919 juta gubah wang haram

SYDNEY, 24 SEPT – Satu daripada bank utama Australia, Westpac, bersetuju membayar AUD1.3 bilion (AS$919 juta) kerana melanggar undang-undang penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, umum syarikat itu pada Isnin.

Denda tersebut adalah terbesar pernah dikenakan ke atas sebuah syarikat Australia dan susulan siasatan yang mengambil masa lama, mendedahkan terdapat pelanggaran oleh beberapa institusi utama, lapor agensi berita Xinhua. Pengawal selia industri, AUSTRAC (Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Transaksi Australia), dalam satu kenyataan berkata Westpac mengaku melanggar Akta Anti Penggubahan Wang Haram dan Akta Pembiayaan Keganasan 2006.

Menurut AUSTRAC, antara kesalahan lain, Westpac gagal melaporkan lebih daripada 19.5 juta transaksi antarabangsa berjumlah AUD11 bilion (AS$7.7 bilion), termasuk di bawah ‘bidang kuasa berisiko tinggi yang diketahui’.

Melalui pelanggaran tersebut, bank membiarkan sistem terbuka untuk dieksploitasi oleh penjenayah melalui penggubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan eksploitasi kanak-kanak, kata Ketua Pegawai Eksekutif AUSTRAC Nicole Rose. – Bernama