WhatsApp lancar gerbang perkhidmatan pembayaran di Brazil

KUALA LUMPUR, 17 JUN – Perkhidmatan pesanan WhatsApp baru-baru ini telah melancarkan gerbang pembayarannya di Brazil ekoran perkembangan pesat perkhidmatan pembayaran digital seiring dengan usaha pendigitalan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, teknologi itu belum lagi menjangkau para pengguna di Malaysia dan Asia Pasifik.

“Brazil satu-satunya negara setakat ini. Tiada lagi wilayah lain diumumkan (sebagai pasaran berikutnya),” kata wakil aplikasi itu.

WhatsApp, milik Facebook, telah melancarkan perkhidmatan pembayaran digital, sekali gus memanfaatkan populariti platform sembang di pasaran baru muncul.

Ini sejajar dengan hasrat Facebook untuk menarik lebih banyak perkhidmatan e-dagang ke platformnya. Awal tahun ini, ketua eksekutif Mark Zuckerberg menggariskan rancangan untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan di India, Indonesia dan Mexico, tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan. – Bernama