WhatsApp sekat lebih 1.75 juta akaun di India

MUMBAI, 3 JAN – Platform komunikasi pesanan yang berpangkalan di AS, WhatsApp, menyekat lebih 1.75 juta akaun pengguna India pada November tahun lalu kerana didakwa menyalahgunakan perkhidmatannya, kata syarikat itu dalam laporan bulanan keselamatan pengguna keenamnya kelmarin.

Akaun pengguna India itu disekat berikutan aduan yang diterima daripada pengguna lain melalui mekanisme pengesanan penyalahgunaan syarikat yang memantau aktiviti pengguna itu dalam platform.

Laporan bulanan WhatsApp diterbitkan mengikut Peraturan Teknologi Maklumat India 2021, yang berkuat kuasa pada Mei menetapkan platform digital besar dengan lebih lima juta pengguna untuk menerbitkan laporan pematuhan setiap bulan mengenai aduan yang diterima dan tindakan yang diambil.

November lalu, penyedia perkhidmatan pesanan tersebut mene-rima 602 laporan tentang pelanggaran pengguna terhadap syarat perkhidmatannya.

Jurucakap WhatsApp berkata syarikat itu melabur dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tercanggih lain untuk memastikan penggunanya selamat di platform itu.

Pada Oktober lalu, WhatsApp menerima 500 laporan rungutan selepas dua juta akaun pengguna India disekat. – Bernama

Whatsapp application green logo icon 3d render on black background