WhatsApp TD123 terima lebih 20,000 mesej bagi Ogos

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Dengan peningkatan kemasukan mesej menerusi aplikasi WhatsApp, pihak Talian Darussalam 123 (TD123) mengakui ada masanya mereka terlepas pandang mesej-mesej yang dihantar.

Pengarah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani menjelaskan bahawa jika dahulu, pihaknya hanya menerima mesej kira-kira 5,000 ke 6,000 mesej namun bagi Ogos lalu sahaja, pihaknya menerima lebih 20,000 mesej.

Walaupun begitu, tambah beliau, pihaknya akan sentiasa berusaha untuk menangani perkara berkenaan, agar kesemua maklumat yang diterima dapat ditangani dengan lebih baik.

Maka dengan itu, pihak TD123 bukan saja membuka perkhidmatan talian, akan tetapi membukakan talian seperti e-mel dan sebagainya di mana ia adalah salah satu penambahbaikan.

Semasa ditemu bual, Dayang Mazriyani mengongsikan bahawa pada awalnya, talian 123 diperkenalkan dengan memfokuskan kepada menerima aduan-aduan yang bukan berbentuk permohonan, akan tetapi semasa gelombang pertama penularan COVID-19, mereka perlu meningkatkan perkhidmatan berkenaan untuk orang ramai dan pihak TD123 menerima permohonan seperti Lesen Kenderaan (VL) dan Lesen Memandu (DL).

Dari sana, telah menampakkan peningkatan diperlukan daripada ejen-ejen panggilan untuk menjawab bukan sahaja aduan semata-mata akan tetapi juga permohonan-permohonan
berkenaan.

Pada tempoh gelombang pertama itu, ejen pusat panggilan hanya seramai 45 orang dan telah ditingkatkan kepada 60 orang.

Walau bagaimanapun, gelombang kedua telah memberikan impak yang sangat mendalam, di mana lebih banyak kaunter diarahkan tutup bagi membendung penularan wabak akan tetapi perkhidmatan perlu dijalankan.

Sebagai alternatif, dengan adanya kerjasama TD123, ia akan dapat memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan juga dapat memberikan maklumat yang diperlukan.

Dalam pada itu juga, TD123 juga harus melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, di mana TD123 telah menjalankan BCP seperti beberapa peratus pekerja diarahkan untuk bekerja di rumah dan beberapa peratus lagi bekerja seperti biasa.

Menurut beliau, mereka yang bekerja di rumah telah memberikan yang terbaik di mana mereka juga menjawab panggilan daripada orang ramai.

Sementara itu, Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon pula berkata, sebagai jabatan yang bertanggungjawab mengenai pemandu dan kenderaan, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) mempunyai cabaran-cabaran tertentu, antara yang dihadapi adalah menjaga keselamatan orang ramai dan warga jabatan daripada pendedahan wabak COVID-19.

Pada waktu yang sama, JPD juga perlu menjaga keselamatan orang ramai dari aspek keselamatan pemandu dan jalan raya.

Menurutnya, semasa gelombang kedua penularan COVID-19 ini, mereka perlu lebih berhati-hati, terutama sekali jabatan berkenaan mempunyai perkhidmatan yang banyak berinteraksi dengan orang ramai, terutama sekali perkhidmatan-perkhidmatan kaunter dan sebagainya.

Wabak berkenaan memberikan kesan yang mendalam terhadap memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai di mana pihak JPD mempunyai peranan yang utama iaitu untuk memberikan perkhidmatan orang ramai dan pada waktu sama untuk menjaga keselamatan mereka jua.

Maka dengan ini, pihak jabatan harus melaksanakan tindakan tertentu dengan teliti, tambah beliau semasa ditemu bual.