WHO: Amalkan gaya hidup aktif

GENEVA, 26 NOV – Pandemik koronavirus bukan alasan tidak mendapatkan senaman secukupnya, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam, mengingatkan walaupun sebelum krisis, ramai yang tidak membabitkan diri dalam aktiviti fizikal.

Dalam satu pengemaskinian garis panduan aktiviti fizikalnya, agensi kesihatan PBB itu menekankan senaman adalah penting kepada kesihatan fizikal dan mental, sementara gaya hidup yang sentiasa duduk boleh memberikan kesan serius.

“WHO menggesa semua orang supaya kekal aktif sepanjang pandemik COVID-19,” beritahu ketua agensi promosi kesihatan Ruediger Krech kepada wartawan.

“Jika kami tidak aktif, kami menghadapi risiko mewujudkan satu lagi pandemik keadaan tidak sihat akibat gaya hidup yang jarang bergerak.”

Tidak adanya statistik mengenai kesan pandemik ke atas aktiviti fizikal, tetapi perintah berkurung, sekatan pergerakan, penutupan gim dan langkah lain jelasnya memaksa ramai orang tinggal dalam rumah dan telah menjejas aktiviti tetap dan rutin senaman.

Keadaan ini membimbangkan memandangkan walaupun sebelum krisis, data menunjukkan majoriti orang muda tidak cukup aktif, dengan kesan teruk untuk kesihatan global.

WHO menganggarkan jika lebih ramai orang bangun dari sofa atau kerusi pejabat untuk bergerak lebih dapat mengelak lima juta kematian setahun.

“Mengamalkan aktiviti fizikal adalah penting untuk kesihatan dan kesejahteraan – ia dapat membantu melanjutkan jangka hayat,” kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan. – AFP