WHO batalkan laporan interim siasatan COVID-19

WASHINGTON, 5 MAC – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membatalkan rancangan mengeluarkan laporan sementara pasukan yang mengunjungi Wuhan yang menyiasat asal-usul COVID-19, lapor The Wall Street Journal, semalam.

Pasukan WHO baru-baru ini kembali daripada lawatannya ke Wuhan, menyatakan mereka tidak mempunyai penemuan yang jelas mengenai asal-usul virus itu, di sebalik ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China mengenai punca krisis kesihatan global yang pertama kali terjadi dalam abad ini.

AS memberi maklum balas menyatakan negaranya mempunyai ‘kebimbangan mendalam’ mengenai apa yang diperoleh pasukan itu dan negaranya menekan China supaya memberikan lebih banyak maklumat.

Pada 12 Februari lalu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata laporan awal dengan ringkasan penemuan pasukan akan dikeluarkan tidak lama selepas itu serta memaklumkan laporan lengkap akan dikeluarkan dalam beberapa minggu selepasnya.

Menurut jurnal itu, bagaimanapun sekarang, WHO mahu membatalkan laporan interim, dengan memetik Dr Peter Ben Embarek, saintis yang mengetuai pasukan itu.

Sebaliknya akhbar itu berkata bahawa pasukan terbabit akan menerbitkan laporan akhir secara lengkap, dengan ringkasan penemuannya, memetik jurucakap WHO.

Laporan lebih luas itu akan diterbitkan dalam beberapa minggu akan datang dan akan merangkumi penemuan penting, demikian menurut jurucakap itu.

“Sebagai definisi, laporan ringkasan tidak akan mempunyai semua perincian,” kata Dr Ben Embarek.

“Oleh kerana terdapat begitu banyak minat dalam laporan ini, ringkasannya tidak akan memuaskan rasa ingin tahu pembaca,” tambahnya. – AFP

Gambar fail menunjukkan Michael Ryan (kiri) Pengarah Eksekutif program Kecemasan Kesihatan WHO dan Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua WHO, mengadakan sidang media mengenai COVID-19 di Geneva, Switzerland. – AP