WHO: Belum ada laporan kematian Omicron

GENEVA, 3 DIS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata hari ini ia masih belum menerima sebarang laporan kematian berkaitan dengan varian baharu Omicron.

WHO berkata ia sedang mengumpul bukti mengenai varian membimbangkan itu, ketika negara di seluruh dunia bergegas untuk menghalangnya daripada menular.

Namun meskipun sejumlah besar negara melaporkan jangkitan dengan varian baharu itu, tidak ada kematian yang telah dilaporkan kepada agensi kesihatan PBB.

“Saya belum melihat laporan kematian berkaitan Omicron,” beritahu jurucakap WHO, Christian Lindmeier kepada wartawan di Geneva.

“Kami sedang mengumpul kesemua bukti dan kami akan menemui lebih banyak bukti dalam masa terdekat ini.

“Lebih banyak negara yang terus menguji orang dan mengkaji varian Omicron, kami juga akan menemui lebih banyak kes, lebih banyak maklumat dan kemungkinan kematian.” – AFP

Gambar menunjukkan picagari dan skrin memaparkan varian utama SARS-Cov-2; Alpha, Beta, Delta, Gamma dan Omicron di Toulouse. – AFP