MANILA, 18 OGOS – Kes-kes koronavirus di negara Asia Pasifik kini disebarkan oleh orang berusia bawah 50 tahun yang mungkin tidak tahu mereka dijangkiti, menurut Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) hari ini, memberi amaran satu ‘fasa baharu’ dalam pandemik.
Ramai mungkin hanya ada gejala ringan atau langsung tidak bergejala COVID-19 dan berisiko menjangkiti orang tua serta penduduk yang mudah terdedah, kata pengarah serantau Pasifik Barat WHO, Takeshi Kasai dalam satu taklimat ringkas maya.
“Epidemik itu berubah. Orang berusia 20, 30 dan 40 semakin memacu ancaman,” kata Kasai. “Ramai tidak menyedari mereka dijangkiti dengan gejala ringan atau langsung tiada. Apa yang kita perhatikan bukan hanya satu kemunculan semula.
“Saya percaya ia satu tanda yang kita sudah memasuki satu fasa baharu pandemik di rantau Asia Pasifik,” tambahnya.
Data WHO pada fasa semasa jangkitan menunjukkan sekitar dua pertiga jangkitan di Jepun adalah dalam kalangan mereka yang berusia bawah 40 tahun.
Lebih daripada separuh kes jangkitan di Filipina dan Australia juga pada kumpulan usia sama. “Kita mesti menggandakan usaha untuk menghalang virus daripada memasuki komuniti mudah terdedah,” katanya.
Beberapa buah negara yang sudah dapat mengawal semula wabak seperti New Zealand, Vietnam dan Korea Selatan – mengesan kluster baharu, memaksa kerajaan untuk melaksanakan semula perintah berkurung yang menjejaskan ke atas bandar-bandar dan mengetatkan lagi peraturan penjarakan sosial. – AFP
