WHO beri amaran Indonesia, lonjakan kes baharu akibat varian

JAKARTA, INDONESIA, 17 JUN – Presiden Indonesia mengarahkan pihak berkuasa untuk mempercepatkan kempen vaksinasi negara itu ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran hari ini mengenai keperluan untuk meningkatkan sekatan sosial di negara itu di tengah-tengah peningkatan mendadak jangkitan koronavirus yang disebabkan oleh varian yang merisaukan.

“Kita perlu mempercepatkan vaksinasi untuk mencapai imuniti komunal yang kami harapkan dapat menghentikan penularan COVID-19,” kata Presiden Joko Widodo dalam ucapannya semasa melawat pusat vaksinasi di luar bandar Jakarta.

Widodo berkata dia mengarahkan menteri-menteri kabinet dan kerajaan tempatan untuk meningkatkan jumlah orang yang divaksinasi setiap hari kepada 1 juta menjelang bulan depan. Dia berkata Indonesia pada ketika ini telah memvaksin setengah juta orang sehari.

Indonesia negara paling ramai penduduk keempat di dunia berhasrat untuk menginokulasi lebih 181 juta daripada 270 juta penduduknya menjelang Mac 2022, namun pihak berkuasa hanya telah lengkap memvaksin 11.8 juta orang manakala 9.6 juta lagi baru satu dos.

Jurucakap pasukan petugas kebangsaan COVID-19, Wiku Adisasmito berkata perkembangan perlahan boleh disebabkan oleh bekalan vaksin global yang terhad, ketidaksediaan sistem kebangsaan dan keraguan mendapatkan vaksin.

Orang ramai ketika mendapatkan vaksin di pusat vaksinasi sementara di stadium di Bandung pada 17 Jun. – AFP

Kerajaan itu telah menerima 92.2 juta dos vaksin setakat ini.

Para pegawai kesihatan Indonesia berkata mereka telah mengesan varian Delta di Jakarta, wilayah Jawa Tengah dan Jawa Timur yang merupakan salah satu daripada empat varian yang dibimbangi oleh WHO.

Setakat ini, kes positif baharu COVID-19 di Indonesia kembali melonjak selepas mencatatkan lebih 12,000 kes harian hari ini, menjadikan kes keseluruhan kini meningkat kepada 1,950,276 kes.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 12,624 kes baharu direkodkan, manakala sebanyak 277 kematian berlaku dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini sebanyak 53,753 orang.

Jumlah kes positif harian di Indonesia pernah dicatatkan di bawah angka 4,000 kes sebelum sambutan Aidilfitri.

Peningkatan kes baharu COVID-19 dikaitkan dengan kegiatan ‘mudik’ ataupun balik kampung semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini, dan penemuan varian baharu iaitu Delta B1617.2 dan Beta B1351, yang kadar penularannya lebih cepat berbanding varian lain. – AP/Bernama