WHO buka pejabat di Istanbul

ANKARA, 10 JULAI – Turki dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menandatangani perjanjian untuk membuka pejabat WHO di Istanbul, lapor agensi berita Xinhua.

“Kami berharap WHO akan menjadi lebih proaktif terutama dalam keadaan darurat kesihatan,” kata Menteri Kesihatan Turki Fahrettin Koca pada sidang media bersama dengan Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah Hans Henri Kluge.

“Tujuan kami adalah untuk menyediakan tindak balas sewajarnya bagi berdepan situasi kemanusiaan yang mungkin berlaku di kawasan ini,” kata Kluge.

Turki melaporkan 1,024 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 209,962 setakat ini.

Seramai 18 orang maut dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka korban sehingga kini 5,300 manakala 2,879 lagi pesakit pulih, meningkatkan jumlah kes sembuh kepada 190,390, kata Menteri Kesihatan Turki. – Bernama