Wednesday, November 6, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO cadang vaksin malaria kedua untuk kanak-kanak

    GENEVA, 3 OKT – Agensi kesihatan PBB kelmarin mencadangkan satu lagi vaksin malaria untuk kanak-kanak, yang boleh menyelamatkan ratusan ribu nyawa dengan menutup jurang bekalan dan permintaan yang tinggi.

    Hampir setengah juta kanak-kanak di rantau Afrika meninggal setiap tahun akibat penyakit itu, disebabkan oleh parasit yang dibawa oleh nyamuk.

    “Sebagai penyelidik malaria, saya dulu bermimpi suatu hari kita akan mempunyai vaksin yang selamat dan berkesan untuk melawan malaria. Sekarang kita mempunyai dua,” kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

    Vaksin baharu R21/Matrix-M, yang dibangunkan oleh Universiti Oxford, di Britain dan dihasilkan oleh Serum Institute of India, telah diluluskan untuk digunakan di Burkina Faso, Ghana dan Nigeria.

    Pada tahun 2021, vaksin RTS,S, yang dihasilkan oleh gergasi farmaseutikal Britain, GSK, menjadi yang pertama yang dicadangkan oleh WHO untuk mencegah malaria dalam kalangan kanak-kanak di kawasan yang mempunyai penularan malaria sederhana hingga tinggi.

    “Permintaan untuk vaksin RTS,S jauh melebihi bekalan, jadi vaksin kedua itu merupakan alat tambahan penting untuk melindungi lebih ramai kanak-kanak dengan lebih pantas dan untuk membawa kita lebih dekat kepada visi kita untuk masa depan bebas malaria,” kata Tedros.

    Kedua-dua vaksin mempunyai kadar keberkesanan yang hampir sama, iaitu kira-kira 75 peratus apabila diberikan dalam keadaan yang sama.

    WHO mengatakan kos keberkesanan vaksin baharu itu akan sebanding dengan vaksin kanak-kanak lain, dengan satu dos R21/Matrix-M berharga antara AS$2 hingga AS$4. – AFP

    WHO membenarkan vaksin malaria kedua pada 2 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda