WHO, CDC kaji ubat tradisional

JOHANNESBURG, 22 JULAI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC) telah melancarkan satu usaha bersama untuk mengkaji peranan ubat tradisional dalam pandemik koronavirus.

Panel penasihat baharu itu akan menyokong negara-negara dalam percubaan klinikal, penyelidikan dan pembangunan terapi tradisional tatkala pandemik kini menular dengan pesat di sebahagian kawasan Afrika.

Kes disahkan di benua itu telah mencecah 750,000, lebih separuh di antaranya di Afrika Selatan. Satu kenyataan WHO berkata ubat tradisional ‘mempunyai banyak faedah’ dan benua itu mempunyai sejarah lama mengenai penggunaannya.

Ketua WHO Afrika Matshidiso Moeti berkata penyelidikan ‘mesti berdasarkan pada sains.’

Beberapa negara menunjukkan minat selepas presiden Madagascar memperkenalkan dan mempromosi campuran herba tempatan sebagai sebahagian daripada respons negara itu terhadap pandemik tersebut. – AP