WHO, China kerjasama berhubung strain baharu H1N1

KUALA LUMPUR, 1 JULAI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyelaras kerjasama dengan pihak berkuasa China untuk membuat penilaian lebih teratur mengenai strain baharu selesema khinzir (H1N1) yang dilaporkan merebak dalam kalangan pekerja ladang khinzir di China.

“Sistem kami juga mengesan wabak ini dan kami mula mempersoalkan virus itu,” kata pengarah serantau WHO bagi Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai pada taklimat media secara maya bersama Forum Ekonomi Dunia-Wilayah Pasifik Barat WHO hari ini.

Beliau berkata maklumat semasa yang dimiliki WHO berhubung virus baharu itu tidak mencukupi bagi membolehkan mereka mengambil tindakan lanjut.

“Kami sedang bersiap sedia menghadapi jangkitan influenza, lanjutan kepada COVID-19 ini,” kata Kansai.

Strain baharu H1N1 itu ketika ini sedang merebak secara beransur dalam kalangan penternak khinzir di China, dan ia harus dikawal dengan segera bagi mengelak satu lagi pandemik, menurut sekumpulan saintis dalam kajian terbaharu mereka. – Bernama