WHO: Dunia berdepan keruntuhan moral

GENEVA, 18 JAN – Dunia berada ‘di ambang keruntuhan moral teruk’ sekiranya negara kaya membolot dos vaksin COVID-19 sementara negara paling miskin menderita, kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghenreyesus mengecam sikap ‘saya dulu’ negara kaya dan juga mengutuk pengeluar vaksin kerana mengejar kelulusan daripada negara kaya dan bukannya menyerah data mereka kepada WHO untuk membenarkan penggunaan vaksin di seluruh dunia.

Beliau berkata bahawa janji kesaksamaan akses kepada vaksin di seluruh dunia terhadap pandemik koronavirus kini menghadapi risiko serius, dalam ucapan pada pembukaan mesyuarat lembaga eksekutif WHO di Geneva.

Tedros berkata 39 juta dos vaksin koronavirus telah diberikan setakat ini di sekurang-kurangnya 49 negara berpendapatan lebih tinggi.

Sementara itu, ‘hanya 25 dos yang telah diberikan di sebuah negara berpendapatan paling rendah. Bukan 25 juta, bukan 25,000 tetapi 25 dos,” kata beliau.

“Saya perlu berterus-terang. Dunia berada di ambang keruntuhan moral dahsyat – dan akibat kegagalan ini akan dibayar dengan nyawa dan mata pencarian negara paling miskin di dunia.”

Beliau berkata beberapa negara malah memberi jaminan mengenai akses saksama, namun mereka mengutamakan perjanjian mereka sendiri dengan pengeluar, mendorong harga naik dan berusaha memotong jalan.

Beliau berkata 44 perjanjian sedemikian dicapai pada 2020 dan sekurang-kurangnya 12 telah pun dimeterai sejak Tahun Baharu.

“Situasi diburukkan lagi apabila kebanyakan pengeluar mengutamakan kelulusan di negara kaya di mana keuntungan adalah tertinggi, dan bukannya menyerah dosir penuh kepada WHO,” kata Tedros. – AFP

Pekerja kesihatan menyediakan picagari yang mengandungi vaksin Pfizer/BioNtech di pusat vaksin di pesta perdagangan Messe Berlin, Berlin, Jerman kelmarin. – AP