WHO: Dunia tidak bebas COVID-19 tahun ini

GENEVA, 2 MAC – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa tidak realistik untuk berfikir dunia akan bebas pandemik COVID-19 akhir tahun ini.

Pengarah Darurat WHO, Michael Ryan, bagaimanapun menyatakan berkemungkinan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dapat dikurangkan.

“Tetapi virus itu tetap ada, terutama ketika jumlah kes baharu global meningkat minggu lalu selepas menunjukkan penurunan selama enam minggu berturut-turut.

“Masih terlalu awal dan saya rasa tidak realistik untuk berfikir bahawa kita akan membendung virus ini pada akhir tahun ini. Tetapi, saya rasa apa yang dapat kita lakukan jika kita pintar, adalah kurangkan kemasukan ke hospital, kematian dan tragedi yang berkaitan dengan wabak ini,” katanya kepada wartawan.

Ryan berkata program imunisasi pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan dan mereka yang paling terdedah terhadap penyakit kronik boleh menepis kebimbangan terhadap wabak itu.

Bagaimanapun, beliau berkata perkembangan terbaharu tidak boleh dianggap mudah kerana virus berkenaan semakin kuat.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, jumlah kes baharu meningkat minggu lalu di Eropah, Amerika, Asia Tenggara dan Mediterranean Timur.

“Vaksin akan membantu menyelamatkan nyawa, tetapi jika negara hanya bergantung kepada vaksin, ia adalah salah… langkah asas kesihatan awam tetap menjadi asas untuk melawan virus itu,” katanya.

Sebanyak 11 juta dos vaksin akan dihantar ke negara peserta minggu ini melalui program Covax dengan 237 juta dos akan diperuntukkan kepada 142 negara sehingga akhir Mei ini. – AFP

Gambar fail menunjukkan pekerja Sinovac memeriksa label pada bebuli vaksin COVID-19 di Beijing.Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran bahawa tidak realistik untuk berfikir dunia akan bebas pandemik COVID-19 akhir tahun ini. – AP