WHO gesa lockdown baharu di Pakistan

ISLAMABAD, 10 JUN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan kepada Pakistan supaya ia melaksanakan perintah berkurung (lockdown) secara ‘berkala’ dalam menangani lonjakan jangkitan selepas negara itu melonggarkan sekatan, kata seorang pegawainya.

Sejak bermulanya pandemik pada Mac lalu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, menentang penutupan seluruh negara seperti di tempat lain, dengan alasan negara miskin itu tidak mampu melaksanakannya.

Sebaliknya, hanya empat wilayah Pakistan diperintahkan ditutup, namun sejak minggu lalu Imran mengatakan sebahagian besar sekatan itu akan ditarik balik.

Pegawai Kesihatan hari ini mengumumkan jumlah rekod kes baharu dalam tempoh 24 jam. Negara itu kini mengesahkan jumlahnya lebih 113,000 kes dan 2,200 kematian – meskipun ujian masih terhad, kadar sebenar dirasakan mungkin lebih tinggi.

“Sehingga hari ini, Pakistan tidak memenuhi prasyarat untuk membuka penutupan perintah pergerakan,” kata WHO dalam satu surat yang disahkan oleh para pegawai Pakistan kelmarin.

Ini berikutan sebahagian besar penduduk masih tidak menerapkan perubahan tingkah laku seperti penjarakan sosial dan mencuci tangan dengan kerap, memaksa pelaksanaan keputusan ‘sukar’ termasuk ‘penutupan berkala’ di kawasan yang disasarkan, antara kandungan butiran surat terbabit. – AFP

Seorang pegawai kesihatan memakai alat pelindung mengambil sampel darah seorang lelaki ketika menunggu giliran mereka semasa ujian pandu lalu di Islamabad pada 10 Jun. – AFP