WHO gesa vaksin ‘booster’ ditangguh dua bulan

BUDAPEST, HUNGARY, 23 OGOS – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini menggesa moratorium dua bulan mengenai pemberian suntikan dos ‘booster’ COVID-19 sebagai satu kaedah untuk mengurangkan ketidaksamaan vaksin global dan menghalang kemunculan varian koronavirus baharu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu wartawan di ibu negara Hungary, Budapest bahawa beliau ‘amat kecewa’ dengan skop sumbangan vaksin di seluruh dunia tatkala banyak negara bergelut untuk menyediakan dos pertama dan kedua kepada sebahagian kecil populasi mereka sementara negara kaya pula mengekalkan simpanan stok vaksin yang meningkat.

Tedros menggesa negara yang menawarkan dos vaksin ketiga ‘supaya berkongsi apa yang boleh digunakan sebagai penggalak dengan negara lain supaya mereka boleh menambah liputan vaksinasi pertama dan kedua mereka.’

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Hungary serta negara lain di Eropah, Timur Tengah dan Asia, telah pun menawarkan atau merancang menawarkan suntikan penggalak COVID-19 kepada populasi mereka. Pada awal Ogos, Hungary menjadi negara pertama dalam 27 negara anggota Kesatuan Eropah untuk membenarkan penduduknya mendaftar untuk dos ketiga, dan lebih 187,000 orang telah menerima suntikan penggalak setakat ini, menurut statistik kerajaan.

Namun agensi kesihatan PBB telah berkali-kali menggesa negara kaya supaya melakukan lebih untuk membantu mempertingkat akses kepada vaksin di dunia membangun. Hari ini, Tedros berkata daripada 4.8 bilion dos vaksin yang dihantar di seluruh dunia setakat ini, 75 peratus telah disumbang kepada 10 negara sementara liputan vaksin di Afrika adalah kurang 2 peratus. – AP

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bercakap semasa sidang media di Budapest, Hungary kelmarin. – AP