WHO: Hentikan jualan haiwan liar di pasar

GENEVA, 13 APRIL – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini menggesa penjualan haiwan liar di pasar makanan dihentikan demi mengelak kemunculan penyakit baharu seperti COVID-19.

WHO berkata disebabkan pasar tradisional memainkan peranan penting dalam menyediakan makanan dan haiwan ternakan untuk sejumlah besar penduduk, pengharaman jualan haiwan liar boleh melindungi kesihatan pekerja pasar dan pelanggan.

Gesaan itu keluar dalam panduan baharu yang dirangka oleh Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE) dan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).

Ketiga-tiga agensi itu berkata haiwan liar merupakan sumber penyakit paling berjangkit dalam manusia dan menyaran-kan langkah-langkah untuk mengurangkan risiko yang berpotensi timbul.

“COVID-19 telah membawa tumpuan baharu kepada ancaman ini, memandangkan kesannya yang serius,” beritahu jurucakap WHO Fadela Chaib kepada wartawan.

Agensi itu berkata sesetengah kes paling awal COVID-19 mempunyai kaitan dengan pasar makanan tradisional borong di bandar Wuhan, dengan kebanyakan pesakit awal terdiri daripada pemilik gerai, pekerja pasar atau pengunjung tetap ke pasar tersebut.

Mereka menambah sampel dari pasar Wuhan mencadangkan ia mungkin merupakan sumber wabak koronavirus.

“WHO, OIE dan UNEP menggesa semua pihak berkuasa supaya menggantung perniagaan dalam haiwan liar spesies mamalia untuk makanan atau pembiakan dan menutup pasar makanan yang menjual haiwan liar sebagai langkah kecemasan melainkan peraturan efektif dan penilaian risiko yang mencukupi dikuatkuasakan.” Agensi berkata timbulnya kaitan yang kuat di antara jualan haiwan liar di pasar dan kemunculan virus baharu dalam manusia. – AFP

Seorang pekerja melihat pada kapas yang digunakan untuk mengeluarkan bekalan perubatan semasa Ekspo Kesihatan Dunia di Wuhan di tengah wilayah Hubei, China. – AFP