WHO: kadar penghidap demensia meningkat

GENEVA, 2 SEPT – Demensia, yang telah menghilangkan ‘memori, kebebasan dan maruah’ ramai orang, kini sedang meningkat di seluruh dunia dan beberapa buah negara bersedia untuk melawannya, amaran dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini.

Dalam laporannya, WHO berkata demensia, berpunca daripada beberapa jenis penyakit dan kecederaan yang memberi kesan kepada otak seperti Alzheimer atau angin ahmar, memberikan kesan kepada lebih 55 juta orang dan kini menjadi ‘kebimbangan kesihatan awam di seluruh dunia’.

Angka tersebut bakal meningkat kepada 78 juta menjelang 2030 dan 139 juta pada tahun 2050 ketika ramai penduduk semakin meningkat tua.

Namun hanya satu per empat negara-negara di seluruh dunia mempunyai perancangan kebangsaan bagi membantu mereka yang menghidap demensia dan keluarga mereka, menurut kenyataan WHO.

Separuh daripada negara-negara tersebut terletak di Eropah, dengan sebilangan lagi berada di beberapa buah benua di seluruh dunia.

“Malahan di Eropah, kebanyakan rancangan hampir luput atau sudah luput, menunjukkan keperluan untuk memperbaharui komitmen daripada pihak kerajaan,” menurut WHO.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, “Demensia telah menyebabkan jutaan orang kehilangan memori, kebebasan dan maruah mereka, malahan ia juga menyebabkan kehilangan bagi mereka yang kita kenali dan cintai.

“Dunia semakin menyaksikan peningkatan jumlah pesakit demensia, dan ia sangat menyakitkan bagi kita semua,” tambahnya.

Demensia sebahagian besarnya dialami oleh mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas, akan tetapi ia juga boleh terjadi kepada mereka yang dalam lingkungan 30an dan 40an.

Setakat ini tiada rawatan bagi penyakit tersebut, tetapi kajian menunjukkan kira-kira 40 peratus kes mampu dielak atau ditunda melalui gaya hidup sihat.

Faktor risiko termasuk kemurungan, tahap pendidikan yang rendah dan mengelak dari bergaul dengan orang lain.– AFP