Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    WHO kaji kaitan COVID dengan kes hepatitis misteri

    GENEVA, 11 MEI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin berkata 348 kes berkemungkinan hepatitis yang tidak diketahui punca penyebabnya telah dikenal pasti, ketika kajian mengenai peranan adenovirus dan jangkitan COVID semakin meningkat.

    WHO berkata hipotesis utama kekal melibatkan adenovirus.

    Kes-kes itu telah dilaporkan di 20 buah negara, dengan 70 kes tambahan dari 13 buah negara lagi masih menunggu pengesahan sementara menunggu ujian selesai.

    Hanya enam buah negara yang melaporkan lebih lima kes, dengan lebih 160 dilaporkan di Britain.

    “Sejak minggu lalu, terdapat beberapa perkembangan penting terhadap siasatan lanjut dan pembaikan hipotesis yang dilakukan,” kata Phillppa Easterbrook, dari program hepatitis global WHO, semasa sidang media.

    Menurutnya, Britain telah menyelaraskan satu kajian komprehensif yang mengkaji genetik kanak-kanak yang dijangkiti, tindak balas imuniti mereka, virus dan kajian epidemiologi lanjut.

    WHO pertama kali dimaklumkan mengenai 10 kes hepatitis yang tidak diketahui puncanya itu di Scotland pada 5 April lalu, dikesan pada kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.

    Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berkata ia sedang menyiasat 109 kes seumpamanya, termasuk lima yang dilaporkan meninggal dunia.

    “Ketika ini, hipotesis utama kekal melibatkan adenovirus – selain turut mempertimbangkan mengenai peranan COVID, sama ada kedua-duanya sebagai jangkitan bersama atau jangkitan masa lalu,” kata Easterbrook.

    Ujian lanjut sejak beberapa minggu kebelakangan mengesahkan kira-kira 70 peratus kes positif bagi adenovirus, dengan 41 sub-jenis – selalunya dikaitkan dengan radang perut dan usus – subjenis yang sering berlaku, tambahnya. – AFP

    Gambar bertarikh 19 Mac 2021 menunjukkan Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit AS di Atlanta, Georgia. Pusat tersebut turut menyiasat 109 kes hepatitis yang tidak ketahui penyebabnya, termasuk lima yang dilaporkan meninggal dunia.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...