Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO kecam Israel putus hubungan UNRWA

    GENEVA, 5 NOV – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengecam keputusan Israel untuk memutuskan hubungan dengan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyokong pelarian Palestin, dengan menyatakan bahawa langkah tersebut tidak akan menjadikan negara itu lebih selamat, malah hanya akan menambah penderitaan penduduk di Gaza.

    “Biar saya jelaskan: Tiada alternatif bagi UNRWA,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam video yang dimuat naik di platform X, merujuk kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

    “Larangan ini tidak akan menjadikan Israel lebih selamat. Ia hanya akan menambah penderitaan penduduk Gaza dan meningkatkan risiko penularan penyakit,” tambah Tedros.

    Kenyataan itu dibuat berikutan pengumuman Israel yang secara rasmi memaklumkan PBB mengenai keputusannya untuk memutuskan hubungan dengan UNRWA, selepas langkah itu disokong oleh ahli parlimen Israel minggu lalu.

    Penggantungan agensi tersebut, yang menyelaraskan hampir semua bantuan di Gaza yang dilanda peperangan, telah mencetuskan kecaman global termasuk sekutu utama Israel, Amerika Syarikat.

    Langkah tersebut dijangka berkuat kuasa pada akhir Januari, dengan Majlis Keselamatan PBB memberi amaran bahawa ia akan membawa kesan buruk kepada jutaan rakyat Palestin.

    Israel mendakwa bahawa puluhan pekerja UNRWA terlibat dalam serangan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, yang dianggap sebagai serangan paling dahsyat dalam sejarah negara itu.

    Beberapa siri siasatan mendapati terdapat beberapa ‘isu berkaitan keberkecualian’ di UNRWA namun menyatakan bahawa Israel belum mengemukakan bukti bagi tuduhan utamanya. – AFP

    Tedros ketika berucap kepada peserta Sidang Kemuncak Kesihatan Dunia 2024 di Berlin pada 14 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda