WHO: Kes cacar monyet bakal meningkat

PARIS, 22 MEI – Seorang pegawai kanan kesihatan Eropah memberi amaran kes cacar monyet yang jarang berlaku di sini akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan mendatang selepas virus itu dikesan merebak ke seluruh Eropah.

Pengarah serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge, berkata, beliau bimbang penularan akan meningkat ketika orang ramai berhimpun dan berpesta bagi menyambut ketibaan musim panas.

Virus yang menyebabkan bintik radang yang serius tetapi jarang menyebabkan kematian, sebelum ini hanya dikesan di tengah dan barat Benua Afrika.

“Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, kes cacar monyet dikesan di kira-kira 12 negara Eropah termasuk Britain, Portugal dan Sweden selain Amerika Syarikat (AS), Kanada serta Australia.

“Semua mangsa kes berkenaan kecuali satu, tidak membabitkan sejarah perjalanan ke kawasan yang mempunyai penyakit cacar monyet.

Gambar fail serahan CDC semasa siasatan dalam wabak cacar monyet di Congo menunjukkan tangan pesakit kes cacar monyet yang dipenuhi bintik-bintik ruam pada peringkat pemulihan. – AP

“Jangkitan dijangka meningkat kerana kes dikesan sekarang merangkumi mereka yang terbabit dalam aktiviti seksual dan ramai tidak mengenali gejala cacar monyet.

“Kebanyakan kes awal penyakit ini adalah dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan sejenis dan ramai sudah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, menunjukkan penularan penyakit sudah berlaku untuk satu tempoh masa,” katanya.

WHO menyatakan pihaknya sedang menyiasat fakta bahawa banyak kes cacar monyet membabitkan golongan gay dan biseksual.

Ketua penasihat kesihatan Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA), Susan Hopkins, berkata beliau menjangkakan kes akan meningkat dalam masa beberapa hari akan datang dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga menggesa lelaki homoseksual dan biseksual memantau simptom cacar monyet kerana kebanyakan jangkitan di Britain dan Eropah berpunca dalam kalangan golongan berkenaan.

“Cacar monyet sebelum ini tidak pernah dianggap sebagai penyakit kelamin yang berjangkit,” kata UKHSA.

Menurut WHO pula, penyakit cacar monyet biasanya sembuh dalam masa antara dua hingga empat minggu dengan hanya kes tertentu boleh membawa maut. – AFP