WHO kongsi vaksin cegah cacar monyet

LONDON, 15 JUN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengumumkan bahawa mereka sedang mewujudkan mekanisme perkongsian vaksin baharu bagi menghentikan wabak cacar monyet di lebih 30 buah negara di luar Afrika.

Langkah tersebut boleh menyebabkan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengedarkan dos vaksin yang terhad kepada negara kaya yang mampu membelinya.

Bagi sesetengah pakar kesihatan, inisiatif tersebut berpotensi melepaskan peluang mengawal virus cacar monyet di negara-negara Afrika di mana ia menjangkiti orang selama beberapa dekad.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, agensi itu sedang membangunkan inisiatif untuk ‘akses yang adil’ kepada vaksin dan rawatan yang diharapkan akan siap dalam masa beberapa minggu.

Mekanisme itu dicadangkan sejurus selepas Britain, Kanada, Perancis, Jerman, AS dan negara lain melaporkan ratusan kes cacar monyet pada bulan lepas. – AP