GENEVA, 13 FEB – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan peringkat prakelayakan rawatan artritis tocilizumab untuk pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan jangkitan COVID-19 yang teruk dalam usaha meningkatkan akses kepada ubat berkenaan.
Antibodi monoklonal yang digunakan dalam ubat antiradang dihasilkan syarikat farmasi gergasi Switzerland, Roche dapat mengurangkan risiko kematian dan juga kemasukan ke hospital bagi pesakit yang menghidap COVID-19 yang teruk.
Seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU), WHO telah mengesyorkan penggunaannya untuk merawat pesakit COVID-19 yang kritikal di hospital.
Bagaimanapun, ubat itu berdepan isu kekurangan bekalan dan sangat mahal dengan satu dos dilaporkan mencecah sehingga AS$600 di negara berpendapatan rendah, kata WHO, sambil menambah bahawa peringkat prakelayakan itu akan membantu menjadikannya lebih mudah diakses. – AFP