WHO nasihat tarik sekatan pergerakan secara bertahap

GENEVA, 12 MEI – Ketika banyak negara sudah mula menarik balik arahan duduk di rumah dan beberapa sekatan yang lain, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan bahawa menarik balik sekatan pergerakan secara bertahap menjadi kunci kepada ekonomi dan kawalan virus, lapor agensi berita Xinhua.

“Menarik balik sekatan pergerakan secara bertahap kunci bagi merangsang kembali ekonomi di samping mengawal penularan virus, selain membolehkan langkah-langkah pencegahan segera diambil jika berlaku peningkatan kes,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. Bercakap pada sidang media maya di Geneva, beliau berkata langkah sekatan pergerakan diperketatkan menghasilkan “banyak kejayaan dalam memperlambat penularan virus seterusnya dapat menyelamatkan nyawa.”

Namun, tambahnya melonggarkan sekatan pergerakan satu langkah yang sangat kompleks dan sukar dan tanda-tanda cabarannya sudah mula kelihatan. – Bernama

Sekolah yang dibuka semula di Morges, Switzerland, sebagai langkah melonggarkan sekatan pergerakan disebabkan oleh koronavirus. WHO menekankan bahawa menarik balik sekatan pergerakan secara bertahap menjadi kunci kepada ekonomi dan kawalan virus. – AP